Monday, May 7, 2012

Sejarah awal pembukaan Kampung Mela

Kampung Mela, Kuala Lipis, Pahang Darul Makmur.

Sejarah ‘Mula’

Menurut Sejarah Kampung Mela, ia mula dibuka pada 1809 oleh Tok Rahim yang pada masa dahulu terkenal di sepanjang Sungai Jelai kerana kekayaan yang dimilikinya. Nama asal Kampung Mela dipercayai berasal daripada perkataan ‘mula’ iaitu kawasan hutan belukar yang mula-mula sekali dibuka dan menjadi sebuah kawasan penempatan. Perubahan dari tahun ke tahun menyebabkan sebutan ‘mula’ akhirnya berubah menjadi ‘mela’ mengikut sebutan mulut seseorang.
Tok Rahim yang membuka kawasan penempatan ini digelar dengan nama ‘Tok Mela' dan telah berkahwin dengan Siti Sarah yang digelar Hitam Cuai. Setelah mendapat zuriat, mereka mengambil keputusan untuk terus menetap di Kampung Mela. 
Memandangkan sejarah pembukaan kampung ini yang berlaku sejak beratus tahun dahulu, sehingga kini penduduk kampung telah menerima pelbagai kemajuan dan pembaharuan baik dari segi ekonomi, sosial dan pendidikan. Begitu juga dengan kemudahan prasarana dan infrastruktur seperti jalan raya berturap dan lampu jalan yang telah disediakan untuk kemudahan penduduk kampung, segalanya lengkap dan amat berguna kepada masyarakat.




Sedikit Tambahan...

Mengikut cerita daripada arwah ayah aku la kan (Cikgu Abdul Razak Bin Mat Isa @ Cikgu Do)..maaf le kalu tersilap ye cerita aku ni..Apa yang aku tahu dan ingat kesinambungan sebelum cerita diatas dikaitkan dengan dua saudara yang berasal daripada Acheh, Sumatera (Indonesia) datang ke Tanah Melayu untuk berguru dan bekerja. Mereka mengambil keputusan untuk berpecah setelah sampai ke Tanah Melayu. Seorang ke Terengganu dan seorang lagi ke Pahang.

Kalau tidak salah memang Tok Rahim ke Pahang. Apabila Tok Rahim menghilir di Sungai Jelai setelah sekian lama merantau, beliau terjumpa sebuah kampung yang tidak diketahui nama dan asal usulnya. Beliau mengambil keputusan untuk menetap di kampung tersebut dan diterima baik oleh ketua kampung. Setelah sekian lama berada dikampung itu Tok Rahim berasa selesa dan sesuai bagi dirinya terus menjadikan kampung tersebut sebagai tempat kediamannya. Pada pada masa yang sama Ketua kampung tersebut mempunyai seorang anak perempuan yang bernama Siti Sarah atau gelarannya Hitam Cuai ketika itu dan sudah bertunang dengan anak ketua kampung sebelah (aku lupa namanya). Setelah sekian lama tanpa disedari Tok Rahim dan Siti Sarah saling menyukai antara satu sama lain dan akhirnya tunangan Siti Sarah diputuskan. Oleh itu, Tok Rahim telah dikahwinkan dengan Siti Sarah oleh ketua kampung merangkap ayah mertuanya dan menimbulkan perasaan tidak puas hati oleh bekas tunangannya.

Pulau Temunga, Kampung Mela.


Disebabkan peristiwa itu terjadilah peperangan antara kedua-dua kampung. Namun begitu, ketua kampung merangkap ayah kepada Siti Sarah tetap merestui hubungan mereka berdua dan meminta mereka melarikan diri daripada kampung tersebut. Sebelum mereka berjaya melepaskan diri, ayah kepada Siti Sarah berpesan kepada Tok Rahim bahawa " Menghilirlah kamu ke sungai Jelai dengan berakit dan carilah dimana terdapatnya satu sungai tiga muara". Setelah beberapa hari berakit, Tok Rahim tetap tidak menjumpai sungai yang mempunyai tiga muara. Beliau telah berakit hingga ke sebuah pulau di Jerantut Feri (Nama sekarang) dan beliau yakin bahawa muara yang di cari tidak wujud dan sudah berputus asa. Namun Siti Sarah atau gelarannya Hitam Cuai mengajak Tok Rahim untuk berpatah balik.

Siang berganti malam dan malam berganti siang, Tok Rahim masih tidak menjumpai satu sungai tiga muara. Hati runsing dan bingung mengenangkan pesanan ayah mertuanya. Akhirnya setelah penat berkayuh beliau terjumpa sebuah pulau ditepi sungai (Nama pulau tersebut adalah Pulau Temunga dan masih ada hingga sekarang). Setelah berehat untuk seketika beliau berjalan-jalan disekeliling pulau dan melihat seakan-akan terdapat dua muara yang terbentuk dihujung pulau tetapi beliau masih bingung dimana muara ketiga. Tidak lama selepas itu Siti Sarah menyatakan kepada suaminya bahawa beliau terjumpa satu muara di hulu sungai yang tidak jauh daripada pulau mereka tumpang berteduh (Muara Sungai Cheka).

Jeti Sungai Jelai Kampung Mela.


Maka lengkaplah pencarian mereka setelah berhari-hari berakit di sungai. Akhirnya Tok Rahim dan Siti Sarah mengambil keputusan untuk menetap disitu. Menurut cerita yang aku ingat lagi, pada suatu hari Siti Sarah bersama anjing peliharaannya membasuh kain ditepi sungai. Tiba-tiba anjing peliharaannya menyalak tidak henti-henti. Siti Sarah kehairanan dan mengambil keputusan untuk melihat apakah yang sedang anjing peliharaannya salakan. Setelah diamati beliau amat terkejut kerana anjingnya terjumpa sebuah tempayan emas didalam timbunan pasir pada permulaan pulau (kepala pulau). Tok Rahim amat terkejut dengan penemuan tersebut dan bagi mengelak daripada diketahui oleh orang ramai mereka telah mengambil inisiatif dengan mengoreng ketulan-ketulan emas tersebut dengan tanah liat dan ditampal pada baju dengan cebisan baju lain yang dipotong ibarat baju lama yang koyak ditampal semula.

Jeti Sungai Jelai Kampung Mela.


Seterusnya bersambunglah kesinambungan cerita yang aku ambik daripada blog kampung Mela di atas tu. Tapi perkara yang paling aku sedih sebenarnya arwah ayah aku telah membukukan cerita-cerita lama ni sebagai simpanan untuk pengetahuan anak cucu. Aku sendiri pernah menyimpan buku itu dan didalamnya menceritakan dengan lebih lanjut mengenai sejarah permulaan Kampung Mela dan salasilah keturunannya dimana seingat aku nama aku turut tercatat didalamnya. Sayangnya buku tersebut telah terbakar ketika rumah aku didepan Pondok Polis Mela hangus dijilat api pada tahun 2005. Sehingga kini keturunan Tok Mela berkembang sehingga sukar dibezakan salasilah yang tulen serta ditambah lagi salasilahnya tidak dibukukan.Ikatan persaudaraan yang utuh amat penting disamping tidak mengenepikan hubungan silaturahim antara salasilah keturunan yang lain kerana asalnya kita tetap daripada keturunan Adam A.S.

Namun, sistem pemilihan Ketua Kampung Mela masih lagi mengikut susur galur keturunan Tok Mela dan menjadi satu landasan, rujukan dan peluang kepada penduduk kampung untuk mengenal salasilah mereka sendiri dengan lebih dekat. Aku sendiri terkejut bahawa rakan-rakan dikampung aku semuanya mempunyai pertalian darah denganku. Bak kata pepatah " Tak kenal maka tak cinta". Golongan muda masa kini janganlah mengambil mudah tentang nilai sejarah kita masa lampau kerana tanpa mereka siapalah kita pada hari ini yang banyak menabur jasa serta keringat demi kedaulatan dan keutuhan bangsa kita.

Walaubagaimanapun sumber yang aku ceritakan ini bukan 100% benar, ianya sekadar ingatan aku pada apa yang telah aku baca dan dengar daripada arwah ayah aku serta beberapa tokoh ilmuan Kampung Mela yang lain seperti Allahyarham Aki Ibrahim Bin Omar dan pak sedara aku Allayarham Dato' Ibrahim bin Mat Isa.
Semoga sejarah masa lampau tidak dilupakan dan dijalan tauladan kepada kita terutamanya generasi sekarang untuk terus membangun dan menjadi bangsa yang berguna di masa hadapan.

Ya..aku seorang perantau namun hatiku tetap di Kampung Mela.

Iklas daripada : Arif Rasyidin Bin Abdul Razak.


3 comments:

sam sjodin said...

Ini adalah suatu usaha yang amat disanjung. Catitkan mana yang ada sabelum semua nya ditelan zaman. Aku sendiri berasal dari Kampong Gua Kuala Lipis, kata ceritanya. Nenek ku sabelah ibu meninggal dan di kebumikan di Kampong Gua pada zaman pemerintahan Jepun. Aku tidak pernah berjumpa beliau kerana telah dibawa merantau ka tempat lain. Katanya aku ini keturunan orang Rawa. Orang apa ini aku tak tahu. Ini lah masaalah nya apabila masyarakat kita tidak menuliskan sejarah nya. Siapa boleh menolong aku?.

sam sjodin said...

Ini adalah suatu usaha yang amat disanjung. Catitkan mana yang ada sabelum semua nya ditelan zaman. Aku sendiri berasal dari Kampong Gua Kuala Lipis, kata ceritanya. Nenek ku sabelah ibu meninggal dan di kebumikan di Kampong Gua pada zaman pemerintahan Jepun. Aku tidak pernah berjumpa beliau kerana telah dibawa merantau ka tempat lain. Katanya aku ini keturunan orang Rawa. Orang apa ini aku tak tahu. Ini lah masaalah nya apabila masyarakat kita tidak menuliskan sejarah nya. Siapa boleh menolong aku?.

arif rasyidin said...

Betul tu bro, sementara ingat baik dicatitkan..umur pun dah makin tua ni kadang2 boleh lupa..hehe..bab keturunan orang Rawa ni macam pernah dengar. in shaa Allah aku cuba bertanya orang2 nanti.