Wednesday, February 13, 2013

Pengalaman atau ijazah?

http://www.hmetro.com.my/articles/Pengalamanatauijazah_/Article

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/05

Oleh Murshid Eunos dan Noor'Janah Abdullah
Belajar tinggi-tinggi, nanti senang cari kerja. Tapi bila masa pula nak cari pengalaman kalau sibuk belajar? Memadaikah ijazah tanpa pengalaman? Mana satu ya? MURSHID EUNOS bersama pelatih Kolej Universiti Antarabangsa Selangor (KUIS), NOOR'JANAH ABDULLAH SANI, mendapatkan pandangan orang awam mengenai senario ini.
KITA mungkin sudah biasa mendengar. Orang yang mempunyai pengalaman jauh lebih berjaya daripada graduan yang memiliki ijazah. Lagi dahsyat, ada yang memiliki ijazah tapi tiada pekerjaan.

Membimbangkan juga apabila graduan menjadi penganggur terhormat hanya kerana terlalu memilih kerja atau terjerat dengan 'mangsa kemelesetan ekonomi'.

Berlainan dengan mereka yang hanya mempunyai pengalaman. Namun apakah benar memiliki pengalaman itu suatu platform untuk berjaya?


Kadang-kala, faktor memilih kerja di kalangan graduan berbanding orang yang 'belajar tak tinggi' pun boleh menjadi satu isu majikan beralih mencari pekerja berpengalaman. Cuba fikirkan semula, kedua-duanya penting, bukan?



Dua-dua penting...
Suraya Mohktaza'zain
27 tahun
Kuala Lumpur
Pensyarah Universiti Kolej Sedaya International (UCSI)
suraya_usci@yahoo.com

"Kedua-duanya penting. Pengalaman penting kerana melaluinya kita akan lebih mahir sebab kita sudah praktik lebih awal. Tapi dengan adanya ijazah, ia melengkapkan lagi kriteria sebagai pekerja.

"Seperti contoh kakitangan kerajaan, ijazah adalah sesuatu perkara yang penting kerana kenaikan pangkat dan gaji dalam sektor awam ditentukan berdasarkan tahap pendidikan yang dimiliki. Semakin tinggi kelulusan kita, makin tinggi gajinya walaupun tiada sebarang pengalaman.

"Jujurnya, saya juga berjaya melalui pengalaman dan berkelulusan. Saya sendiri berkelulusan dalam bidang lain, tapi mendapat rezeki di bidang yang lain. Saya mempunyai pengalaman sebagai arkitek di sebuah syarikat swasta.

"Mula-mula, saya hanya menganggap ia sebagai cabaran anak muda untuk menceburi pelbagai bidang. Namun lama-kelamaan saya berasa seronok kerana mula belajar benda yang baru.

"Melalui pengalaman itulah saya mendapat tawaran mengajar jurusan arkitek di sebuah pusat pengajian tinggi swasta Kuala Lumpur."

Pengalaman
Zainuddin Amrullah
21 Tahun
Kuala Lumpur
Kontraktor
azid_cold92@yahoo.com

"Bergantung kepada individu, ijazah adalah satu tiket untuk melangkah ke dunia pekerjaan dan selebihnya bergantung kepada kemahiran kita. Pengalaman lagi penting, sebab kalau ada ijazah tanpa pengalaman pun tak boleh juga. Zaman sekarang banyak perlukan pengalaman.

"Namun begitu, kita kena tengok juga industri pilihan pekerjaan kita. Sama ada swasta atau kerajaan, kalau permintaan ijazah diperlukan, jadi ijazah satu perkara penting.

"Kalau kita tengok, bidang perniagaan semuanya terletak di bahu kita saja. Seratus-peratus di bahu kita, jadi tidak perlulah sampai memiliki ijazah. Saya sendiri tidaklah memiliki ijazah, tapi dengan berkat rezeki dan pengalaman, saya sekarang bekerja sebagai seorang 'data entry' di sebuah syarikat milik keluarga saya di sekitar lembah Klang."

Bergantung pilihan hidup
Nor Izzati Khairi
21 Tahun
Pahang, Kuantan
Rakan Kongsi, KR IZFFAAA ENT

"Perkara ini sebenarnya amat subjektif. Bergantung kepada cara hidup yang dipilih oleh individu. Kalau saya, buat masa sekarang pengalaman lagi penting. Sebab saya memilih untuk memasuki bidang perniagaan, jadi saya perlu mencari pengalaman yang banyak.

"Tapi tak dinafikan, pengalaman dan pelajaran jika dicampurkan ia kelihatan lengkap. Walaupun bagi saya, ijazah seperti lesen yang wajib dimiliki untuk memudahkan proses-proses tertentu.

"Melalui pengalaman, saya tidaklah belajar tinggi-tinggi sebab sewaktu saya menceburi bidang perniagaan, saya baru lepasan SPM. Saya hanya berusaha dan belajar kemahiran perniagaan melalui orang yang berpengalaman. Berjaya tak berjaya itu lain cerita, yang pasti saya memang seronok memasuki bidang perniagaan.

"Tapi jika diberikan kesempatan, saya juga ingin sambung belajar ke peringkat lebih tinggi. Tak salah jika menimba ilmu dan mempunyai ijazah, sebab saya sudah mempunyai pengalaman jika ada ijazah saya rasa baru lengkap.

"Nasihat saya, kita janganlah ego dengan apa dimiliki walaupun kita mempunyai selautan pengalaman dan berkelulusan."


 ...........................................................................................................................
Arif Rasyidin Bin abdul Razak,

Topik "Pengalaman atau Ijazah?" memang menjadi perbincangan hangat sejak akhir-akhir ini. Sejauh manakah perbezaan kedua-dua bahagian ini memberi impak kepada seseorang yang pada hakikatnya kebergantungan aspek-aspek tersebut memainkan peranan penting untuk melahirkan individu yang berkaliber dan bersedia untuk menempuh hari-hari mendatang.

Tafsiran daripada wikipedia, Pengalaman sebagai konsep am terdiri daripada pengetahuan atau kemahiran atau pemerhatian sesuatu benda atau peristiwa yang diperoleh melalui penglibatan atau pendedahan kepada benda atau peristiwa itu.

Secara amnya, konsep pengalaman memaksudkan kepandaian atau pengetahuan tatacara dan bukannya pengetahuan kenyataan. Ahli falsafah menggelar pengetahuan yang berasaskan pengalaman sebgai "pengetahuan empirik" atau "pengetahuan a posteriori." Seseorang yang kaya dengan pengalaman dalam sesuatu bidang boleh mengejar reputasi selaku pakar. Pengalaman boleh diperoleh dari pemerhatian dan juga bimbingan orang-orang bijaksana.

Manakala, Ijazah merujuk kepada mana-mana dalam selingkungan besar tahap darjat yang dikurniakan oleh institusi pengajian tinggi, seperti universiti, secara amnya sebagai ganjaran bagi kejayaan menyiapkan satu program pengajian.

Pengalaman dan kelulusan


Kedua-dua aspek ini amat penting kerana ianya saling berhubung kait antara satu sama lain. Walaupun definisi menyatakan perbedaan ruang dan tatacara kerja yang berbeza namun aspek-aspek ini masih berhubung diantara satu sama lain. Ibaratnya seperti saling melengkapi antara satu sama lain jika berada pada alur yang sama.

Pengalaman itu mematangkan minda dan meneguhkan jiwa, setiap orang tidak akan memiliki pengalaman yang sama dalam aspek kehidupan. Menempuh cabaran dan halangan untuk maju ke hadapan dan berdaya saing bagi merealisasi setiap impian yang ingin dicapai menjadi batu ukur kepada pengalaman setiap individu. Bukan mudah sebenarnya untuk menilai dan mentafsir apa yang telah dilalui oleh seseorang  individu.

Dalam era globalisasi kini, ramai graduan yang tertanya-tanya "Kemanakah halatuju ku yang sebenarnya?". Ramai diantara mereka yang bingung tentang pilihan mereka sendiri, daripada mula mendapat tawaran kemasukan ke universiti hinggalah penghujung semester akhir sebelum majlis penganugerahan sijil. Adakah faktor keluarga yang memaksa, ramai sahabat yang masuk universiti ataupun malu jika tidak masuk universiti walaupun tidak kisah kos apa yang ditawarkan dan sebagainya. Hal yang sedemikian menyebabkan ramai graduan tidak bersedia untuk berhadapan dengan cabaran selepas tamat pengajian kelak. Namun, bagi graduan yang berdaya saing dan tahu apa yang mereka inginkan kebiasaannya mereka lebih bersedia dan dinamik dalam menempuhi alam universiti. Hari ini sudah biasa bagi saya sendiri pabila mendengar rakan-rakan yang mengambil kos lain di universiti dan bekerja dalam bidang yang lain di industri. Ianya bukan lagi perkara pelik yang perlu ditakrifkan oleh sesiapa pun kerana jelas ianya memang berlaku dan saya sendiri pun turut berada dalam situasi tersebut. Namun, apakah graduan bersedia untuk menempuh alam pekerjaan dan cukupkah impak dengan latihan industri yang diberi oleh pihak universiti kepada graduan untuk lebih memahami corak dan gaya kerja industri?. Namun, keperluan tahap pendidikan tertinggi juga memainkan peranan penting dalam sesuatu bidang dan ianya juga boleh dijadikan sebagai batu ukur kepada seseorang untuk dinilai dari segi tahap ilmu yang dimilikinya.

Tidak kurang juga dengan aspek pengalaman yang banyak dijadikan sandaran oleh industri untuk menilai seseorang individu. Pengalaman juga menjadikan seseorang itu lebih bersedia dan berani dalam melakukan sesuatu tindakan berdasarkan apa yang pernah ditempuhinya. Seseorang yang boleh menilai sesuatu perkerjaan yang diberikan kepadanya dengan cepat dan bertindak mengikut arahan. Ianya boleh dikatakan sangat penting kepada sesebuah syarikat untuk membezakan tahap pemikiran dan skil individu didalam menyelesaikan masalah dan berhadapan dengan situasi genting.

Kesinambungan kedua-dua aspek ini yang mana saling berhubung kait amat penting. Hal ini kerana jika kita hanya memiliki pengalaman tetapi tidak disemai dengan ilmu-ilmu yang lain kita juga yang rugi. Individu perlu mengukuhkan diri dengan pengalaman yang boleh mematangkan pemikiran dan menjadikan kelulusan itu sebagai nilai tambah kepadanya. "Man jadda wa jadda" pepatah arab mengatakan "Siapa yang berusaha, dia akan berjaya" perlu dijadikan pegangan dalam hidup setiap insan, mereka yang berjaya bukan sahaja melalui pengalaman tetapi seseorang yang sentiasa menambah baik dirinya untuk lebih berjaya didalam perlbagai bidang. Hal ini kerana, ilmu itu tidak akan mudah dimiliki hanya dengan pengalaman semata-mata, ianya perlu dicari agar kita lebih seimbang dan selari didalam kehidupan kita. Saya percaya mereka yang memiliki kedua-aspek ini bukan sahaja mengenal erti susah payah akan tetapi tahu apa yang dicari sebenarnya di dalam kehidupan.

"Pengalaman bukan alas kepada minda yang berfikir, Ijazah tidak hanya gulungan sehelai kertas bertinta".




No comments: