Industri MLM (Multi Level Marketing)
Islam telah menetapkan bahawa setiap urusan jual beli mestilah bersih daripada unsur-unsur perbuatan penipuan, merampas, khianat, riba, judi, rasuah, mencuri dan putar belit. Perniagaan dianggap halal sekiranya dalam membeli khidmat urusan "downline" tidak ada unsur-unsur yang dinyatakan di atas. Keuntungan yang diperolehi adalah daripada hasil usaha yang setimpal dengan perkhidmatan yang diberi.
Isu Shariah Dalam Perniagaan MLM
( updated pada 10 April 2007 berwarna ungu )
Oleh : Ust Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman
www.zaharuddin.net
Jualan
Pelbagai Peringkat atau lebih dikenali sebagai ‘Multi Level Marketing'
atau MLM adalah amat popular di Malaysia. Dalam pada masa yang sama,
sistem yang sama juga digunakan oleh industri penjualan Saham Amanah
Islam dan beberapa produk Takaful. Statistik tahun 2003 menunjukkan
industri MLM Malaysia mencatatkan jualan RM 4 bilion dan lebih dari 3
juta orang Malaysia terlibat dalam urusniaga MLM.
Akibat
dari kebanjiran produk dan syarikat yang menggunakan sistem ini dalam
mempromosi dan penjualan produk mereka. MLM kini boleh dianggap sebagai
sebuah sistem pemasaran yang diterima ramai. Bagaimanapun, amat jarang
dijumpai ilmuan Shariah samada dalam atau luar negara yang ingin atau
berminat untuk menghuraikan sistem ini dari aspek Shariah dengan
terperinci dan konkrit. Ini mungkin disebabkan kerumitan atau kurangnya
minat ilmuan Shariah untuk mendalami proses sistem ini.
Para ‘Ustaz' dan Multi Level Marketing
Saya
juga tidak dapat lari dari dibanjiri soalan demi soalan berkenaan hal
ini. Pada awalnya, saya cuba untuk mengelak disebabkan terlampau banyak
bentuk dan jenis MLM ini hingga menyukarkan sesiapa juga untuk memandu
dan menerangkan hukumnya secara jelas. Di tambah pula mengenagkan
pengikut dan pengamalnya yang terlalu ramai dan kebanyakkannya pula
kelihatan ‘taksub' dan amat yakin akan halalnya kaedah MLM ini.
Tidak
kurang juga terdapat para graduan Shariah atau pengajian Islam yang
digelar ‘Ustaz' dan Ustazah' yang juga kuat berkempen produk-produk
syarikat dengan skim MLM. Lebih hangat dan meriah lagi, kumpulan ini
kerap mendakwa ianya halal lalu diselitkan dengan pelbagai dalil
Al-Quran dan Hadith yang menggalakkan umat Islam berniaga, kuat ekonomi
dan lain-lain. Hakikatnya, dalil-dalil ini bukanlah khusus untuk
menyokong MLM dan perniagaan piramid mereka.
Ikhlas
saya ingin nyatakan di sini, agak ramai juga orang ramai yang
terpengaruh dengan kempenan dari kumpulan ilmuan agama seperti ini,
menyebabkan orang ramai menyertainya tanpa berfikir lagi berkenaan halal
atau haramnya sesuatu produk itu kerana ia telah diiktiraf oleh seorang
‘ustaz'. Justeru, saya ingin menasihatkan semua rakan-rakan lulusan
Shariah dan Pengajian Islam agar lebih berhati-hati memberikan sebarang
hukum dan merujuk dengan lebih mendalam sebelum berkempen dan mendakwa
halalnya sesuatu produk hanya semata-mata kerana ia mendapat keuntungan
besar di dalamnya. Ini kerana agak ramai juga saya dapati orang ramai
yang berkiblatkan ustaz tertentu dalam kempen MLM mereka. Berkatalah
Al-Laith bin Sa'ad : « Seandainya orang-orang yang memiliki pemahaman
halal dan haram meneliti masalah ini, pastilah mereka tidak akan
membolehkannya kerana terdapat di dalamnya unsur perjudian » ( Riwayat
Al-Bukhari, no 2346 ). Sayyidina Umar al-Khattab r.a telah mengingatkan:
لا يبع في سوقنا إلا من قد تفقه في الدين
Ertinya
: "Jangan seseorang kamu berjual beli di pasar kami, kecuali ia telah
mendalami ilmu (hukum) agama tentangnya" ( Riwayat Tirmidzi, no 487, hlm
129 ; Albani : Hasan)
Bagi
membantu masyarakat yang semakin ‘hangus' dalam industri ini, saya
merasakan adalah elok untuk saya berkongsi panduan umum Shariah dalam
hal penggunaan MLM ini. Bagaimanapun, saya tidaklah mampu untuk
menujukan tulisan ringkas ini kepada mana-mana jenama MLM yang wujud di
Malaysia mahupun luar negara. Tulisan ini hanya memberikan sedikit
gambaran dan garis panduan yang diletakkan oleh undang-undang Islam
dalam hal MLM ini.
Pengertian MLM
Secara
umum ‘Multi Level Marketing' adalah suatu cara perniagaan alternatif
yang berkaitan dengan pemasaran yang dilakukan melalui banyak level
(tingkatan), yang biasa dikenal dengan istilah ‘Upline' (tingkat atas)
dan ‘Downline' (tingakt bawah), orang akan disebut ‘Upline' jika
mempunyai ‘Downline'. Pokok utama dari perniagaan MLM ini digerakkan
dengan jaringan ini, sama ada yang bersifat ‘vertikal' atas bawah
mahupun ‘horizontal kiri kanan' ataupun gabungan antara keduanya. (Lihat
All About MLM oleh Benny Santoso hal: 28, Hukum Syara MLM oleh Hafidz
Abd Rahman, MA)
Bentuk MLM yang Haram atau syubhat
Ada beberapa bentuk sistem MLM yang jelas keharamannya atau keraguannya, iaitu apabila ia menggunakan sistem berikut :
1) Harga tinggi dari biasa
: Menjual produk yang diperjualbelikan dalam sistem MLM dengan harga
yang jauh lebih tinggi dari harga biasa, ia adalah amat tidak digalakkan
menurut Islam malah menurut sebahagian ulama, aqad seperti ini adalah
terbatal. Tatkala itu, ia digelar ‘Gabhnun Fahisyh' menurut istilah
ulama Fiqh. Hukum jualan secara ‘Ghabnun Fahisy' ini diperbezakan oleh
ulama antara harus, makruh dan haram. (Durar al-Hukkam Fi Syarh Majallah
al-Ahkam, klausa no 356, hlm 369). Bagaimana Nabi SAW pernah
mengisyaratkannya sebagai suatu kezaliman jika berlaku kepada orang yang
tidak mengetahui selok belok harga barang. (Al-Qawaid, Ibn Rusyd, hlm
601)
Bagaimanapun
perlu diingat, dalam satu MLM mungkin terdapat 3 atau 4 unsur syubhat
dan haram yang akan saya sebutkan. Ini tidaklah bermakna saya mengatakan
MLM haram hanya kerana adanya unsur "Harga Lebih Tinggi dari Biasa" ,
ia cuma salah satu unsur yang perlu disemak dan boleh memburukkan lagi
hukum sesuatu MLM sehingga boleh jatuh tahap haram kerana penipuan dalam
keadaan tertentu yang lain.
Apa
yang ingin saya nyatakan ‘Ghabnun' di sini adalah yang dibuat dalam
bentuk penipuan harga kepada orang awam, iaitu harga yang sengaja
dinaikkan kerana merangkumkan yuran penyertaan dalam system priamid.
Sebagai contoh saya pernah ‘terpaksa' membeli sebuah produk MLM. Oleh
kerana tukang jual MLM ini amat sukar beralah, dan saya ingin ia cepat
menamatkan kempenanannya dengan adab, lalu saya belilah satu produknya
yang termurah, iaitu sebiji bantal yang dikatakan sangat hebat, harganya
mencecah RM300 sebiji. Inilah namanya 'Ghabnun', sedangkan bantal
tersebut rupa-rupanya langsung tiada istimewanya setelah digunakan. Maka
jelas harganya dinaikkan kerana penyertaan sebagai ahli dan masuk dalam
sistem. Tapi saya senyapkan saja keahlian dan langsung tidak bergerak,
membeli hanya kerana kasihan dengan si penjual yang dikenali ini sahaja.
Inilah
maksud saya mempunyai unsur ‘Ghabnun', mungkin unsur ini tidak cukup
kuat untuk menjadikannya haram, tetapi ia salah satu unsur yang memberi
kesan kepada aqad, kesan ini apabila ia bergabung dengan unsur-unsur
syubhat yang lain, ia boleh menjadi haram.
Sebagai Makluman :
Mazhab
Hanafi : terbahagi kepada 3 pandangan, iaitu ada ulamanya yang
mengatakan ghabnun harus walaupun Fahisyh, kedua : Haram , ketiga :
Haram bila ada usnur penipuan sahaja ( Syarh ad-Dur , AL-Haskafi, 2/82 )
Mazhab
Maliki : Juga ulama mereka berbagai pandangan : Pertama : Ghabnun
Mustrasil samada Yasir atau fahsiyh : Haram ; Kedua : Ghabnun lebih
tinggi 1/3 dari harga pasaran biasa tanpa adalah HARAM. ( Al-Qawaid :
Ibn Rusyd , hlm 601 ; AL-Qawaid Al-Fiqhiyyah, Ibn Juzay, hlm 294)
Mazhab Syafie : Harus hukumnya kecuali pandangan ganjil dari al-Mutawaali yang mengharamkannya . ( Al-Majmu' , 7/500 )
Mahzab
Hanbali : Ibn Quddamah berkata : "Ghabn Mustarsil adala apabila si
pembeli membeli dengan harga yang terkeluar dari harga pasaran ...
teruatamanya apabila didesak ( agar tak pergi semak kedai-kedai lain
dulu) dan cuba disegerakan oleh penjual " ( Al-Mughni , 4/78 )
Justeru,
perbincangan panjang tentang 'Ghabn' sebenarnya menunjukkan terdapat
jenis 'Ghabn' yang disepakati haramnya oleh ulama, ada yang disepakati
halalnya, dan terdapat yang diperbezakan pandangan. Justeru apabila saya
sebut 'ghabn' sebagai salah satu sebab boleh jadikan MLM haram, maka
ini kerana berkemungkinan jenis yang disepakati haram itu berlaku.
Justeru, semasa menulis artikel anda perlu faham target saya. Adakah
anda yakin semua jenis 'Ghabn' yang berlaku dalam MLM itu tergolong dari
golongan yang harus ?. Jika ye, maka itu pandangan anda , bukan saya.
Saya lebih selesa berpandangan ia banyak jenis 'Ghabn' yang berlaku
lebih menjurus kepada haram terutamanya apabila hampir semua
syarikat-syarikat MLM ini amat mengambil mudah akan hal hukum agama.
Jika tidak, pastinya mereka telah mengambil Penasihat Shariah sejak dari
awal.
2) Belian Peribadi target sebagai syarat komisyen :
Selain dari yuran yang wajib dibayar oleh ahli, pada kebiasaannya
terdapat syarat yang mewajibkan ahli tersebut mencapai target belian
tertentu bagi melayakkannya mendapat apa jua komsiyen dari hasil jualan
orang di bawahnya. Apabila ia gagal mencapai ‘harga target' tersebut
maka keahliannya akan hilang atau tiada sebarang komisyen untuknya
walaupun orang bawahannya menjual dengan begitu banyak. Semua MLM yang
terlibat dengan syarat seperti ini, menyebabkan sistem MLM mereka
menjadi bermasalah dari sudut Shariah kerana wujudnya unsur kezaliman
terhadap ahli selain wujudnya kewajiban jualan bersyarat dengan syarat
yang tidak menyebelahi ahli serta berbentuk penindasan. Seolah-olah
pihak syarikat memaksanya dengan mengatakan "Anda mesti membeli atau
mengekalkan penjualan peribadi sebanyak RM 500 sebulan bagi membolehkan
anda mendapat hak komisyen orang bawahan anda".
Pada
asasnya, komisyen yang diambil atas usaha menjual (seperti ‘brokerage
fee') sesuatu barangan adalah adalah harus menurut Shariah, ia adalah
pandangan ulama besar Tabi'en seperti Muhammad Ibn Sirin, ‘Ato' Bin Abi
Rabah, Ibrahim an-Nakha'ie dan ramai lagi (Sohih Al-Bukhari ;
Al-Musannaf, 5/242 ; Mawahibul Jalil, 4/452 ). Bagaimanapun, komisyen
dalam hal MLM dan system piramdi ini boleh bertukar menjadi syubhah
apabila :-
*
Diikat komisyen jualan rangkaiannya dengan sesuatu jualan olehnya, ia
menimbulkan masalah dari sudut Shariah seperti unsur pemaksaan, syarat
yang tidak sah dalam perwakilan dan perjudian. namun begitu, ia mungkin
diHARUSKAN jika terdapat penasihat Shariah yang membetulkannya selaras
dengan aqad Ju'alah. namun begitu, majoriti syarikat MLM tidak mempunyai
pensaihat Syariah untuk membetulkannya, menyebabkan ia kekal di dalam
syubhah.
*
Komisyen datang dari orang bawahan yang langsung tidak dikenalinya
kerana sudah terlampau jauh ke bawah. Ini menjadikan orang atasan
seolah-olah mendapat untung di atas angina tanpa sebarang kerja dan
usaha lagi. Ia juga boleh dikelaskan sebagai broker di atas broker di
atas briker di atas broker dan seterusnya. Dalam hal berbilangnya
rantaian komsiyen broker ini, menurut perbincangan saya bersama Syeikh
Prof. Dr Abd Sattar Abu Ghuddah (Pakar Shariah utama dalam bidang
kewangan Islam dunia di Kesatuan Ulama Fiqh Sedunia, AAOIFI, Dow Jones
Islamic Index dan lain-lain) ia termasuk dalam konteks memakan harta
orang lain dengan bathil selain terdapat unsur judi. Ini adalah kerana
ia seolah-olah meletakkan syarat kepada semua orang bawahan samada
dengan pengetahuan mereka atau tidak, semua hasil jualan mereka akan
diambil sebahagian keuntungannya untuk orang atasnya.
Walaupun
demikian, jika komsiyen datang dari pihak syarikat atas dasar yang
betul seperti jualah dan hibah, ia boleh jadi diharuskan. Namun sekali
lagi rukun dan syarat aqad yang betul mesti dipantau oleh penaasihat
Syariah yang berkelayakan.
*
Dari sudut yang lain, terdapat juga keraguan dalam isu pemberian
komisyen di atas usaha dan tugas agen (wakil penjual) atau "brokerage"
(tukang kempen). Ini kerana sepatutnya komisyen ke atas "brokerage"
tidak harus mensyaratkan tukang kempen itu untuk membeli untuk diri
sendiri sebagaimana yang berlaku dalam beberapa jenis MLM. Sesetengahnya
pula mensyaratkan ‘broker' atau ‘agen' untuk menjual sendiri sebanyak
sekian jumlah bagi memperolehi komisyen jualan broker (ahli) di
bawahnya. Dengan sebab-sebab ini, hal ‘broker' atau ‘agen' menjadi
syubhah dan tidak lagi benar ianya disifatkan sebagai komisyen wakil
atau broker yang diterima Islam.
3)
Jika ahli berdaftar menyertai MLM dengan yuran tertentu, tetapi tiada
sebarang produk untuk diniagakan, perniagaannya hanyalah dengan mencari
orang bawahanya (downline), setiap kali ia mendapat ahli baru, maka
diberikan beberapa peratus dari yuran ahi tersebut kepadanya. Semakin
banyak anggota baru bermakna semakin banyak jualah bonusnya. Ini adalah
bentuk riba kerana memperdagangkan sejumlah wang untuk mendapat sejumlah
lebih banyak yang lain di masa hadapan. Ia merupakan satu bentu Riba
Nasiah dan Riba Al-Fadl. Hal yang sama juga hukumnya bagi perusahaan MLM
yang tidak mempunyai produk bersungguh dan berkualiti, sebaliknya
produk miliknya hanyalah berupa ruangan laman web yang tidak berfaedah
buat kebanyakkan orang, atau apa jua produk yang hanya dijadikan sebagai
alasan pembelian. Malah harga sebenar produknya juga adakalanya jauh
dari harga yang dijual kepada ahli (sebagai contoh dijual produk web
komputer, sedangkan haragnya jauh lebih tinggi dan si ahli pula tidak
mempunyai komputer pun). Pada hakikatnya, si ahli bukannya ingin membeli
produk itu, tetapi untuk menyertai rangkaian serta memperolehi wang
darinya. Ia juga termasuk dalam yang diharamkan. Hal membeli produk
tidak benar dengan niat utama memasuki rangkaian dan mendapat untung
dari rangkaian ini telah difatwakan haram oleh Majlis Fatwa Al-Lajnah
Ad-Daimah Arab Saudi no 15/192-193.
4)
Terdapat juga syarikat MLM yang melakukan manipulasi dalam menjual
produknya, atau memaksa pembeli untuk menggunakan produknya atau yang
dijual adalah barang haram. Maka MLM tersebut jelas keharamannya. Namun
tidak semua MLM begini, cuma sebahagianya sahaja.
5)
Terdapat juga unsur mirip "shafqatayn fi shafqah", atau bay'atayn fi
bay'ah, (iaitu dua aqad jenis jual beli dalam satu) yang dilarang oleh
Baginda SAW dengan pelbagai lafaz antaranya : "
نهى رسول الله صلى الله عليه وسلم عن صفقتين في صفقة واحدة
Ertinya
: "Rasulullah SAW melarang dari membuat dua belian (aqad) dalam satu
aqad" ( Riwayat Ahmad, Al-Bazzar ; Al-Haithami : perawi Ahmad adalah
thiqah ; 4/84 )
Ini
berlaku apabila ada sebahagian syarikat MLM yang membuka pendaftaran
ahlinya, setiap ahli perlu membayar sejumlah wang disebut yuran, tidak
dapat dipastikan samada yuran tersebut untuk membeli kedudukan di dalam
rangkaian ataupun membeli produk. Pada waktu yang sama, dengan
termeterainya keahliannya itu, ia akan menjadi wakil pula bagi syarikat
untuk merekrut ahli baru, maka tindakan MLM seperti ini, boleh
dikatakan termasuk dalam kategori hadis : shafqatayn fi shafqah, atau
bay'atayn fi bay'ah. Ini kerana, dalam hal ini, orang tersebut telah
dikira melakukan transaksi aqad Mu'awadat (kontrak pertukaran hak
kewangan) bila membeli produk atau menjadi ahli dan dalam masa yang sama
masuk dalam satu jenis aqad lagi iaitu perwakilan (untuk menjualkan
produk itu kelak di samping mencari ahli baru) dengan komisyen tertentu.
Maka, praktis seperti ini jelas tergolong sebagaimana hadith di atas.
Ingin
saya tekankan juga, hal berkaitan komisyen jualan orang di level
keseratus akan diperolehi juga oleh upline di tingkat kedua, padahal
mereka tiada sebarang kaitan aqad yang jelas, dan hanya kerana rantaian
orang dibawahnya maka ia mendapat untung?. Apa yang diletakkan untuk
mendapat untung?.
Sedangkan
dalam contoh sebuah syarikat besar, seorang pemegang saham sememang
layak dapat untung walaupun goyang kaki kerana ia meletakkan 'modal',
sebagaimana yang diketahui , keuntungan boleh didapati dari tiga sebab
iaitu 1) Modal 2) Kerja 3) Jaminan 'Dhoman' barangan dari sebarang aib
pada barang yang dijual.
Lalu
si pemegang modal berhak mendapat untung kerana ia letak modal, si
pekerja layak mendapat untung kerana ia bekerja .. jadi apa hak si
upline kedua untuk dapat untung jualan si downline ke seratus? Tiada
modal, tiada kerja, tiada jaminan atau dhoman barangan yang dijual,
kernaa jaminan barangan yang dijual adalah dari syarikat, bukan upline!.
Apa Maksud Sebenar Dua Aqad Dalam Satu ?
Shafqatain
di Safqah dan lafaz yang seertinya denganya memang tidak dinafikan
mempunyai banyak takrif dan tafsiran menurut kefahaman ulama yang
berbeza. Manakala sesiapa yang hanya mendedahkan hanya beberapa kerat
dari pandangan tersebut dan kemudian terus memegangnya. Tapi perlu
diingat disana terdapat pelabagi tafsiran yang lain pula, dan saya
memegang tafsiran yang lain. Maka itu tidak bererti tafsiran pegangan
saya adalah salah, dan tafsiran pegangan anda mesti betul. Jika demikian
perangainya, maka ini jelas tidak faham konsep ikhtilaf dalam nas.
Sebagai
hadiah untuk awam dan pembaca yang mampu faham ini beberapa tafsiran
tentang hadith dua aqad dalam satu mengikut beberapa kumpulan ulama
silam dan kaitannya dengan MLM:-
- 1) iaitu contoh berkata penjual kepada pembeli : " Aku jual kepadamu baju ini dengan harga RM 10 tunai , atau RM 20 secara tangguh" , maka si pembeli bersetuju TANPA mengspecifickan plan tangguh atau tunai yang dikehendakinya. Ini bentuk yang ditafsirkan oleh Imam Malik, Abu Hanifah, At-Thawri, Ishak Rahawaih, Imam As-Syafie ( Syarh as-Sunah, Al-Baghawi, 8/142 ; ‘Aridathul Ahwazi, 5/240 ; Al-Mughni, Ibn Quddamah, 6/333; Al-Mudawwanah, 9/191 ).
Tiada
khilaf di kalangan ahli ilmu, jenis ini adalah HARAM. Bagaimanapun
tafsiran ini tidak berapa berkaitan dengan MLM, kerana biasnaya plan
harga akan dipilih dengan tepat.
- 2) Iaitu contohnya pembeli : "jualkan kepadaku barangan ini dengan harga RM 10 tunai atau dengan sebuah radio pada tarikh akan datang", kemudian kedua-dua bersetuju tanpa memberikan yang mana satu mereka inginkan. Ini adalah tafsiran Imam Malik pula ( ‘Aridathul Ahwazi, 5/240 ) . Ini juga tiada kaitan dengan MLM.
- 3) Iaitu contohnya berkata seorang lelaki : "Aku jual kebunku ini dengan harga RM 10,000 dengan syarat kamu jualkan rumah kamu pula dengan harga RM 15,000" . Inilah juga tafsiran ulama mazhab Hanafi, Hanbali dan Syafie. ( Al-Mughni , 6/332 ; Al-Um, 3/67 ; ‘Aridatul Ahwazi, 5/239 )
Inilah
tafsiran yang saya lihat ada kaitannya dengan kebanyakkan MLM. Iaitu
berkata syarikat MLM kepada seorang ahli baru sebagai contoh : "aku
jual barang water filter ini dengan harga RM 2000 dengan syarat engkau
jadi wakil jualanku dengan komisyen sebanyak 3 % dari harga jualanmu
dan aku beri mandate kamu untuk jadi lantik ahli baru dan setiap
jualannya kamu akan dapat 1 % dengan syarat kamu ada jualan sendiri
sebanyak RM 1000 setiap bulan"
Lihat, dalam contoh saya tu ada berapa jenis aqad muawadah maliah yang bersifat lazim?
a- Jual barang RM 2000 - Aqad jual beli yang bersifat lazim
b- Lantik jadi wakil dengan upah (Wakalah bil Ujr) - aqad wakalah yang bersifat lazim.
c- Beri mandate untuk cari ahli - ini tiada masalah
d- Setiap ahli yang kamu lantik jual kamu layak dapat 1% - Ini ju'alah, juga kelihatan tiada masalah.
e- Kamu
hanya layak dapat 1 % ju'alah tadi dengan syarat kamu ada jualan
sendiri RM 1000 - Ini ada syubhat sikit syarat seperti ini. Perlu
perbincangan dan ijtihad.
Cuma,
secara umum kita dapat melihat bergabungnya dua aqad mu'awadat maliah
(pertukaran hak milik harta) yang bersifat Lazim. Jika aqad itu ghayru
Lazim maka ia diharuskan, tetapi dalam hal ini dua aqad itu adalah "aqad
lazim"
- 4) Iaitu seorang penjual menjual dua barangan berlainan harga iaitu kasut dengan harga RM 100 dan handphone dengan harga RM 700, tetapi ia membuatnya terikat, iaitu jika anda beli handphone, maka pembelian kasut juga menjadi wajib. Inilah takrif yang dipegang oleh Al-Qadhi Ibn Al-Arabi al-Maliki ( Al-Qabas Syarah Al-Muwatta', 2/842 ; Al-Muntaqa , 5/36) .
Ini
juga mempunyai sedikit kaitan dengan MLM kerana meletakkan syarat satu
aqad lain sebagai syarat untuk sesuatu aqad itu boleh ‘concluded'.
- 5) Iaitu contohnya : Berkata penjual : " Aku jual handphone ini dengan RM 100 dengan bayaran ansuran dalam 3 bulan, dengan syarat aku akan belinya semual darimu dengan harga RM 80 tunai" . Ini adalah tafsiran Ibn Taymiah dan Ibn Qayyim pula. Ia adalah sama dengan takrif Bai Inah. ( Mukhtasar Al-Fatawa Lib Ibn taymiah, hlm 327 ; Tahzib Mukhtasar Sunan Abi Daud, Ibn Qayyim, 5/100 )
Tafsiran ini agak kurang kaitannya dengan MLM.
Demikianlah
beberapa takrifan dan tafsiran ulama tentang hadith dua aqad dalam
satu. Sebenarnya ada terdapat 3 lagi tafsiran, Cuma cukuplah sebagai
info tambahan kepada pembaca. Oleh kerana beberapa yang dilakukan dalam
MLM ada terdapat dalam salah satu tafsirannya, maka saya masukkan point
dua aqad di dalam satu sebagai isu yang boleh menjadikan MLM samada
haram atau batal atau syubhat.
Pun
begitu, point ini boleh diealakkan jika aqad tersebut boleh dipisahkan
dan berdiri dengan sendirinya. Pemantauan penasihat Syariah diperlukan
bagi memastikan hal ini mampu dibuat.
Keputusan Majma Fiqh Sedunia ?
Kesatuan
Fiqh Sedunia (Majma' Fiqh Islami) pernah mengeluarkan fatwa ke atas
satu bentuk perniagaan MLM jenama PT Biznas yang disifatkan sebagai
haram kerana ia adalah salah satu bentuk perjudian. Selain itu,
keputusan itu juga menafikan bahawa komisyen yang digunakan adalah
komisyen atau upah ‘brokerage' sebagaimana didakwa. (Rujuk keputusan
nombor 3/24, 17 Julai 2003). Selain itu, Syeikh Salim Al-Hilali pernah
mengeluarkan fatwa pengharaman dengan katanya : "Banyak pertanyaan
berkenaan perniagaan yang diminati ramai. Yang secara umum gambarannya
adalah mengikuti kaedah piramid dalam sistem pemasarannya, dengan cara
setiap anggota harus mencari ahli-ahli baru dan demikian selanjutnya.
Setiap anggota membayar yuran pada syarikat dengan jumlah tertentu
dengan angan-angan mendapat bonus, semakin banyak anggota dan memasarkan
produknya maka akan semakin banyak bonus yang dijanjikan. Sebenarnya
kebanyakan anggota MLM yang menyertai cara ini adalah hasil motivasi
bonus yang dijanjikan tersebut dengan harapan agar cepat kaya dalam
waktu yang sesingkat mungkin, padahal ia langsung tidak menginginkan
produknya. Perniagaan jenis ini adalah perjudian murni, kerana beberapa sebab berikut, iaitu:
Ø
Sebenarnya anggota MLM ini tidak mahukan produknya, akan tetapi tujuan
utama mereka adalah menyertai rangkaian piramid bagi mendapatkan
kekayaan cepat apabila setiap ahli baru membayar yuran.
Ø Harga produk yang dibeli sebenarnya tidak sampai 30% dari wang yang dibayarkan pada syarikat MLM.
Ø
Tujuan perusahaan adalah membangun jaringan individu secara
berkesinambungan. Yang mana ini akan menguntungkan anggota yang berada
pada level atas (Upline) sedangkan level bawah (downline) selalu
memberikan nilai point pada yang berada dilevel atas mereka.
Justeru,
saya kira, amat tipis untuk mencari MLM yang tidak tergolong dalam
item-item salah yang saya sebutkan di atas, malah saya juga suka
menyarankan agar pengamal-pengamal jualan amanah saham dan Takaful
secara wakil untuk lebih berhati-hati agar tidak terjerumus dalam bab
MLM. Bagaimanapun, jika anda masih ingin mendakwa halalnya MLM ini, saya
sarankan agar pengamal MLM memastikan asas minima Shariah berikut dapat
dipatuhi :-
1. Produk MLM ini mestilah dibeli dengan tujuan yang sebenarnya
(seperti produk yang benar-benar bermanfaat dan dibangunkan dengan
serius seperti ubat-ubatan berkualiti, unik dan lainnya). Justeru,
produk MLM yang kabur kualiti dan kegunaannya tidaklah dibenarkan kerana
ia hanyalah bertujuan untuk mengabui dalam undang-undang dan hukum
Shariah, ia tiadalah halal di sisi Shariah. Justeru, kekuatan MLM itu
ialah kepada produknya yang bermutu dan bukan kepada objektif jangka
pendek mengumpul dana (modal).
2. Produknya bukan emas dan perak yang boleh dijual beli secara tangguh. Ini kerana penjualan barangan emas secara tangguh adalah Riba jenis Nasiah.
3. Komisyen yang diberikan kepada ahli untuk setiap penjual dan ahli bawahannya mestilah jelas. Tiada komisyen tanpa usaha, ini bermakna orang atas hanya berhak mendapat komisyen dari ahli bawahan yang dibantunya sahaja.
4. Keuntungan dan komisyen bukan berdasarkan ‘kepala' atau ahli yang ditaja,
tetapi adalah berdasarkan nilai produk yang berjaya di jualnya. Ini
diperlukan bagi membuktikan ia menumpukan kepada perniagaan penjualan
produk dan perkhidmatan dan bukannya permainan wang (money game).
5. Tidak diwajibkan bagi si ahli membuat belian sendiri dalam jumlah tertentu
bagi memperolehi komsiyen dari orang bawahannya. Ini kerana dibimbangi
ia mirip paksaan belian. Namun jika syarikat meletakkan syarat JUALAN
MINIMA untuk memperolehi komisyen kumpulan dan sebagainya, ia mungkin
dibenarkan dengan syarat ia dibuat atas asas ju'alah. Untuk itu, syarat
dan rukun jua'alah mestilah dipastikan sempurna.
6. Setiap ‘upline' atau orang di sebelah atas mestilah menaruh usaha atas jualan orang bawahannya,
seperti mengadakan perjumpaan taklimat, motivasi dan teknik berkempen
secara terancang seperti sebuah syarikat yang pelbagai ahlinya. Ia perlu
bagi melayakkannya menerima komisyen itu dari sudut Shariah, jika tidak
adalah dibimbangi ia akan terjerumus kepada keraguan ‘syubhah'. Ini
kerana konsep niaga dalam Islam tidak membenarkan suatu keuntungan dari
sesuatu perniagaan yang diperolehi tanpa usaha. Justeru, sedikit usaha
perlu dicurahkan bagi menjadi sebab haknya ke atas komisyen. Perlu
diingat, kebanyakan ahli di kaki yang 10 ke bawah, mungkin tidak
mengenalinya lantaran ia dilantik oleh orang bawahannya yang kesembilan.
Jika tidak, apakah haknya untuk mendapat komisyen yang demikian
berangkai dan begitu jauh ?.
7. Tidak menggunakan skim piramid iaitu skim siapa masuk dulu akan untung selamanya. Manakala
hak mereka yang masuk kemudian akan berkurangan. Justeru, plan
pemasaran mestilah memberikan hak kepada semua, malah orang bawahan
mampu mendapat keuntungan lebih dari orang atasannya, apabila ia mampu
menjual dengan lebih hebat.
8. Mempersembahkan system komisyen dan bonus yang telus dan boleh difahami dan dipantau oleh ahli dengan jelas. Ia bagi mengelakkan segala jenis penipuan.
9. Menstruktur plan pemasaran di anatara ahli dan orang bawahannya secara musyarakah iaitu
perkonsgian untung dan rugi berdasarkan modal masing-masing dengan
nisbah pembahagian keuntungan yang ditetapkan di peringkat awal lagi.
Mana MLM alternatif??
"Kalau
ustaz pandai sangat, kenapa tak tuliskan sahaja macam mana MLM yang
menepati Shariah tu, biar orang boleh guna" Demikian tempelak seorang
pemuda tanpa kesabaran melalui sebuah web.
Jawapan saya seperti berikut :-
Pertama : Memang ramai 'suruh', 'arah' dan minta saya sebutkan macam mana MLM yang harus serta realistik.
Inilah
masalah orang ramai, tidak berfikir mendalam sebelum meminta. Kita kena
faham, tak semua yang perniagaan diasakan ikut cara yang menpeati
Shariah itu menarik pada pandangan mata orang ramai dan boleh laku untuk
dijual di Malaysia, dan tak semua pula plan dan skim atau produk yang
sangat boleh dijual dan menarik itu menepati hukum Shariah. Jadinya bagi
menghasilkan satu plan hebat yang menepati Shariah dan boleh jual,
perbincangan dua pihak antara Ilmuan Shariah & bisnesman amat perlu
dalam hal ini.
Mana
mungkin sebuah plan pemasaran MLM terbaik dapat dicadangkan hanya
dengan mengemukakan permintaan mudah begitu sahaja kepada saya, ini
kerana mungkin saya mempunyai penyelesaian dari sudut teori Shariahnya.
Teori ini pula sebahagiannya bersifat fleksible dan tidak sebahagian
yang lain, kerana itu perbincangan diperlukan dengan pihak pakar
pemasaran demi memastikan samada ia 'viable' untuk diperkenalkan atau
tidak. Kerana saya bukanlah pakar dalam bab pemasaran.
Kedua :
Saya juga bukanlah seorang jutawan yang membolehkan saya memperkenalkan
plan bisnes MLM contoh yang hebat dan menepati Shariah. Mudahnya,
selagi tiada bisnesman Muslim yang punyai perhatian kuat tentang halal
haram dan berkesudian berbincang dengan orang Shariah, selagi tu tidak
akan didapati plan dan skim MLM alternatif yang menepati Shariah.
Untuk
maklumat, proses inilah yang amat kerap kami (ilmuan Shariah sedunia,
saya dan rakan-rakan ustaz di semua institusi kewangan Islam seluruh
dunia) ; iaitu kami duduk berjam-jam dengan pakar pemasaran, peguam
untuk mencipta produk kewangan Islam yang halal serta dalam masa yang
sama aqad-aqadnya juga halal dan boleh diaplikasikan di sisi
undang-undang Malaysia. Kesimpulan saya, jika hanya ada satu pihak
sahaja yang bersungguh, ia pasti akan menjadi hasrat yang terbengkalai
juga.
Akhirnya,
saya tahu bahawa hukum MLM ini masih terbuka untuk perbincangan, malah
Syeikh Dr Abd Sattar Abu Ghuddah ketika perbincangan dengan beliau
mengakui ini isu yang agak baru baginya. Benar, amat sukar ditemui
tulisan para ulama Islam dari Timur Tengah berkenaan hal MLM ini,
disebabkan MLM belum masuk ke pasaran negara Arab dengan meluas.
Justeru, menjadi tanggungjawab para ilmuan Shariah Asia Tenggara untuk
membantu masyarakat untuk mengetahui pandangan Shariah tentang MLM ini.
Tulisan ringkas saya hanyalah pandangan awal bagi memberi peringatan
bahawa dengan sekadar pandangan, kelihatan begitu banyak keraguan boleh
muncul dalam perniagaan MLM ini. Tidak perlulah pembaca merasa marah dan
benci dengan tulisan ini. Ini sekadar nasihat bagi mereka yang
mengambil berat tentang pendapatan serta memikirkan barzakh dan akhirat
mereka yang kekal abadi. Wallahu ‘alam.
Kuala Lumpur, Malaysia (14 Zulhijjah 1427 H = 4 Januari 2007)
No comments:
Post a Comment